Becks hampiri cap 108
WATFORD, England – David Beckham bakal menjadi tumpuan untuk menyamai rekod cap antarabangsa ke-108 skuad kebangsaan England jika dia beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Sepanyol hari ini.
Namun, lebih dari itu Rio Ferdinand berkata, perlawanan itu amat penting untuk membentuk pembangunan jangka panjang pasukan bimbingan Fabio Capello.
Ferdinand yakin pertemuan England dengan juara Eropah itu di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Seville merupakan peluang terbaik untuk membina mental kemenangan di kalangan pemain bagi memenangi trofi.
Ferdinand kagum dengan cara Capello memulihkan keseimbangan skuad England pada tahun pertamanya sebagai jurulatih.
Pemain pertahanan Manchester United itu yakin, pendekatan psikologi dalam perlawanan besar menentang Sepanyol harus dibuktikan.
Kemenangan ke atas Croatia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia dan kejayaan dalam perlawanan persahabatan dengan Jerman memberikan Capello keyakinan bahawa England sedang dalam proses memperbetulkan keadaan.
Kini Ferdinand berharap, pasukannya boleh mencatat satu lagi penanda aras bahawa skuad England sudah pulih dengan mencatat keputusan positif ke atas Sepanyol.
“Kami menentang salah satu pasukan terbaik di dunia. Kami perlu pastikan beraksi dengan prestasi sendiri dan dengan cara yang betul.
“Perlawanan ini satu ukuran yang baik sejauh mana kami telah maju di bawah pengurus baru.
“Mentaliti kemenangan amat diperlukan dalam pasukan England. Lebih cepat kami mendapat mentaliti sedemikian, ia lebih bagus.
“Ini semua bergantung kepada cara permainan, keinginan untuk tidak melepaskan gol, keinginan untuk menang serta kesungguhan untuk merangkul lebih banyak kejuaraan dan kemenangan,’’ katanya.
Sementara itu, kebangkitan semula karier Beckham di AC Milan telah menyakinkan Capello bahawa pemain tengah itu masih mampu beraksi baik di peringkat tinggi.
Ferdinand mengakui Beckham semakin bagus sejak beraksi di Itali.
“Nampaknya dia telah muda kembali. Berbual dengannya sewaktu latihan memang kelihatan dia semakin bagus.
“Becks menjadi personaliti besar di kalangan masyarakat penghibur dan orang mula berfikir bahawa dia tidak layak beraksi kerana hatinya tidak pada bola sepak.
“Namun, dia mempunyai kesungguhan dalaman yang orang tidak tahu,’’ katanya.
Kali terakhir England bertemu Sepanyol ialah pada November 2004 yang dicemari ejekan perkauman yang ditujukan kepada pemain berkulit hitam termasuk Ferdinand dan Shaun Wright-Phillips oleh penonton di stadium Bernabeu, Madrid.
Sepanyol berpeluang untuk mengulangi kemenangan 1-0 ke atas England berikutan kehadiran semula Fernando Torres yang kini cergas sepenuhnya walaupun pemain pertahanan Carlos Puyol tidak beraksi akibat masalah paha. – AFP